Sunday, November 2, 2014

Sapi betina 4- In the beginning... (Pada permulaannya...)

Salam

Pada hari ini kita akan berlajar sedikit mengenai kisah Nabi Adam. Surah Al-Baqarah ayat 29-39

Bismillah

29. Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untkmu kemudian Dia menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu

30. Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu mengetahui."

31. Dan Dia ajarkan kepada Adam nama-nama (benda) semuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para malaikat, seraya berfirman, "Sebutkan kepada-Ku  nama sebenar (benda) ini, jika kamu yang benar!"

32. Mereka menjawab, "Maha suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana."

33. Dia (Allah) berfirman, "Wahai Adam! Beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu!" Setelah dia (Adam) menyebutkan nama-namanya, Dia berfirman, "Bukanlah telah aku katakan kepadamu, bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?"

34. Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam!" Maka mereka pun sujud kecuali iblis. Ia menolak  dan menyombongkan diri dan ia termasuk golongan yang kafir.

35. Dan Kami berfirman, "Wahai Adam! tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah dengan nikmat (berbagai makanan) yang ada di sana sesukamu. (Tetapi) janganlah kamu dekati pohon ini, nanti kamu termasuk orang-orang yang zalim!"

36. Lalu syaitan memperdayakan keduanya dari syurga sehingga keduanya dikeluarkan dari (segala kenikmatan) ketika keduanya di sana (syurga). Dan Kami berfirman, "Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain. Dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kesenangan di bumi sampai waktu yang ditentukan.

37. Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, lalu Dia pun menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang.

38. Kami berfirman, "Turunlah kamu semua dari syurga! Kemudian jika benar-benar datang petunjukKu kepadamu, maka barang siapa mengikuti petunjukKu, tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.

39. Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka. Mereka kekal didalamnya.

10 ayat di atas merupakan kisah ringkas Nabi Adam. Tak silap saya ada beberapa kali kisah Nabi Adam diceritakan di dalam Al Quran dan ini merupakan kisah yang pertama kita temui.

Cerita dimulakan dengan kisah Allah mencipta bumi dan langit. Dalam ayat-29 Allah menyatakan bahawa Allah mencipta bumi dahulu sebelum mencipta tujuh langit.

Kemudian diikuti pula dengan cerita Allah menyatakan kehendak untuk menjadikan khalifah di muka bumi. Para malaikat pada mulanya mempersoalkan keputusan Allah tetapi Allah menyatakan bahawa Dia lebih mengetahui.



Jadi Allah pun mengajar Nabi Adam (note: dalam ayat di atas, dikatakan Nabi Adam 'diajar'. Ayat tersebut tidak menggunakan perkataan 'dicipta') nama-nama (benda). Allah kemudiannya menyoal para malaikat jika mereka tahu nama-nama (benda) tersebut dan para malaikat tidak dapat menjawab soalan tersebut. Selepas itu, Allah menyuruh para malaikat untuk bersujud kepada Nabi Adam. Semua malaikat bersujud kepada Nabi Adam kecuali iblis. Dan dinyatakan dalam ayat di atas bahawa iblis itu kafir.

Allah memberi kebenaran untuk Nabi Adam dan isterinya (tidak dinamakan di dalam ayat di atas) untuk tinggal di syurga. Mereka (Nabi Adam dan isteri) boleh makan apa sahaja di dalam syurga tetapi mereka tidak dibenarkan untuk menghampiri sebuah pohon (juga tidak dinamakan). Tetapi mereka berdua diperdayakan oleh syaitan (sebelumnya dinamakan iblis) (note: tidak dinyatakan bagaimana Nabi Adam dan isteri diperdayakan oleh syaitan) dan diusir dari syurga. Nabi Adam dan isteri kemudiannya menetap di bumi.


Atas kesilapan tersebut, Nabi Adam bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubat Nabi Adam.

Di pengakhiran ayat-ayat di atas, dinyatakan bahawa orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Allah kekal di dalam neraka selamanya.

Jadi kisah Nabi Adam diceritakan dengan ringkasnya dalam ayat-ayat di atas. Tidak pun disebut nama Hawa, kisah kejadian Nabi Adam, kisah kejadian Hawa, bagaimana Nabi Adam dan Hawa diperdayakan oleh syaitan dan sama ada Nabi Adam makan atau tidak buah dari pohon larangan tersebut. Jadi kita perlulah bertanya dari mana sumber kisah-kisah tambahan ini. Mungkin ada diceritakan dengan lebih lanjut dalam surah-surah lain wallahualam tetapi kita perlu sentiasa mempersoalkan sumber-sumber cerita ini.

Saya ada satu persoalan apabila membaca terjemahan ayat-ayat di atas. Pada ayat ke-38, Allah menyuruh 'kamu semua' turun dari syurga. Siapakah yang dimaksudkan dengan kamu semua ini? Lagi pula pada ayat 36 sudah Allah perintahkan Nabi Adam dan Hawa untuk turun ke bumi. Adakah terdapat manusia lain di dalam syurga pada waktu itu? Wallahualam.

Demikian secara ringkasnya kisah Nabi Adam A.S. Marilah sentiasa bertaubat kepada Allah. Moga-moga Allah menerima taubat kita. Semoga bertemu di post yang lain!

No comments:

Post a Comment