Wednesday, November 5, 2014

Yusuf- Nabi Yusuf A.S. ditinggalkan di dalam perigi

Salam,

Hari ini saya mengambil keputusan untuk skip beberapa surah untuk bercerita tentang kisah Nabi Yusuf dalam surah Yusuf. Surah Yusuf ialah surah ke 12 di dalam Al Quran dan mengandungi 111 ayat.

Saya lompat surah ni sebabnya surah Al Baqarah yang sedang kita bincangkan dalam post-post lepas, akan membincangkan tentang kisah-kisah Bani Israel di zaman Nabi Musa A.S. dengan lebih lanjut. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sejarah Bani Israel, kita perlu meneliti sirah nenek moyang Bani Israel.

Israel ialah nama lain bagi Nabi Ya'kub A.S. dan Bani Israel merujuk kepada anak pinak Nabi Ya'kub. Nabi Ya'kub dan keluarga pada asalnya tinggal di Kana'an (sekitar Lebanon dan Israel hari ini) dan mereka kemudiannya berpindah ke Mesir.

Surah Yusuf ayat 1-18

Bismillah

1. Alif La~m Ra~. Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas

2. Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti.

3. Kami menceritakan kepadamu (Muhammad) kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya engkau sebelum itu termasuk orang yang tidak mengetahui

4. (Ingatlah) ketika Yusuf berkata kepada ayahnya, "Wahai ayahku! Sungguh aku (bermimpi) melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku."



5. Dia (ayahnya) berkata, "Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, mereka akan membuat tipu daya (untuk membinasakan)mu. Sungguh, syaitan itu musuh yang jelas bagi manusia."

6. Dan demikianlah, Tuhan memilih engkau (untuk menjadi Nabi) dan mengajarkan kepadamu sebahagian dari takwil mimpi dan menyempurnakan (nikmatNya) kepadamu dan kepada keluarga Ya'kub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmatNya kepada kedua orang datukmu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak. Sungguh, Tuhanmu Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.

7. Sungguh, dalam (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang bertanya.

Kisah dimulakan dengan kalimah Alif La~m Ra dan kemudian diikuti pula dengan muqadimah kenapa diturunkan cerita ini kepada Rasulullah.

Cerita dimulai dengan kisah Nabi Yusuf A.S  memberitahu ayahandanya, Nabi Ya'kub A.S. tentang sebuah mimpi. Dalam mimpi berkenaan, Nabi Yusuf melihat sebelas bintang, matahari dan bulan sujud kepada baginda. Nabi Ya'kub setelah mendengar cerita tersebut melarang Nabi Yusuf daripada menceritakan kisah tersebut kepada saudaranya, kerana khuatir akan iri hati terhadap Nabi Yusuf. Nabi Ya'kub juga menerangkan kepada Nabi Yusuf bahawa Allah memilih Nabi Yusuf untuk belajar ilmu tafsir mimpi (takwil=tafsir).

8. Ketika mereka berkata, "Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) lebih dicintai ayah daripada kita, padahal kita adalah satu golongan (yang kuat). Sungguh, ayah kita dalam kekeliruan yang nyata,

9. Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat agar perhatian ayah tertumpah kepadamu, dan setelah itu kamu menjadi orang yang baik."

10. Seorang di antara mereka berkata, "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi masukkan saja dia ke dasar perigi agar dia dipungut oleh sebahagian musafir, jika kamu hendak berbuat."

Saudara Nabi Yusuf A.S. iri hati dengan layanan ayah mereka terhadap Nabi Yusuf dan Bunyamin. (Mengikut sesetengah sumber, Nabi Yusuf dan Bunyamin merupakan anak bongsu kepada Nabi Ya'kub). Jadi mereka merancang untuk menganiayai Nabi Yusuf A.S.

11. Mereka berkata, "Wahai ayah kami! Mengapa engkau tidak mempercayai kami terhadap Yusuf, padahal sesungguhnya kami semua menginginkan kebaikan baginya.

12. Biarkanlah dia pergi bersama kami besok pagi, agar dia bersenang-senang dan bermain-main, dan kami pasti menjaganya."

13. Dia (Ya'kub) berkata, "Sesungguhnya pemergian kamu bersama (Yusuf) sangat menyedihkan dan aku khuatir dia dimakan serigala, sedang kamu lengah darinya."

14. Sesungguhnya mereka berkata,"Jika dia dimakan serigala, padahal kami kelompok (yang kuat), kalau demikian tentu kami orang-orang yang rugi.

Saudara-saudara Nabi Yusuf A.S. berjaya memujuk Nabi Ya'kub untuk membiarkan mereka membawa Nabi Yusuf A.S. bersama mereka tetapi Nabi Ya'kub bimbang Nabi Yusuf akan dimakan serigala jika saudara-saudaranya leka.

15. Maka ketika mereka membawanya dan sepakat memasukkan ke dasar perigi, Kami wahyukan kepadanya," Engkau kelak pasti akan menceritakan perbuatan ini kepada mereka, sedang mereka tidak menyedari."



16. Kemudian mereka datang kepada ayah mereka pada petang hari sambil menangis.

17. Mereka berkata, "Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami pergi berlumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala; dan engkau tentu tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami berkata benar."

18. Dan mereka datang membawa baju gamisnya (yang berlumuran) darah palsu. Dia (Ya'kub) berkata, "Sebenarnya hanya dirimu sendirilah yang memandang baik urusan yang buruk itu; maka hanya bersabar itulah yang terbaik (bagiku). Dan kepada Allah saja memohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan."



Saudara Nabi Yusuf A.S. berjaya meninggalkan Nabi Yusuf ke dalam perigi. Mereka kemudian pulang kepada Nabi Ya'kub sambil membawa baju Nabi Yusuf yang berlumuran darah palsu. Nabi Ya'kub sedih mendengar berita tersebut. Baginda hanya mampu bersabar dan memohon pertolongan daripada Allah S.W.T.


Demikian kisah Nabi Yusuf ditinggalkan di dalam perigi. Marilah kita mencontohi sifat Nabi Ya'kub yang penyabar. Dan kepada Allah sahajalah tempat kita memohon pertolongan. Wallahualam

No comments:

Post a Comment